![[VIDEO] Dazrin Kamarudin: ‘Jangan Ingat Kita Selebriti, Semua Benda Boleh Dilanggar’](https://asset.ohbulan.com/2026/08/New-Latest-Default-Image-2026-08-02T215553.610.png)
Bagi pelakon dan usahawan, Dazrin Kamarudin, kejayaan menganjurkan sesuatu acara bukan terletak pada populariti semata-mata, sebaliknya bermula dengan menghormati setiap peraturan yang telah ditetapkan.
Artikel Berkaitan: ‘Sekarang Bila Ada Bisnes & Digelar Saudagar Karpet, Ramai Datang Menempel’ – Dazrin Kamarudin Imbas Fasa Kejatuhan
Ikut undang-undang

Menurut Dazrin, setiap idea atau perancangan boleh direalisasikan sekiranya dilaksanakan mengikut saluran yang betul serta mematuhi syarat dan prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Katanya, status sebagai selebriti bukan alasan untuk melanggar undang-undang atau mengabaikan proses yang sepatutnya.
Memang idea saya banyak. Kalau orang cakap sesuatu itu tak boleh dibuat, saya akan cari jalan bagaimana hendak menjadikannya realiti. Tetapi apa juga dilakukan, kita tetap kena ikut peraturan.
Jangan ingat kita selebriti, kita ini besar dan semua benda boleh dilanggar. Peraturan tetap peraturan. Kalau perlu mohon lesen, mohonlah lesen. Selagi saya belum ada kelulusan atau lesen, saya tidak akan jalankan acara itu.
Contohnya semalam (Jumaat) saya berniat mahu membantu seorang busker, tetapi untuk memanggil busker atau penghibur membuat persembahan pun perlu mendapatkan lesen.
Tambah pelakon drama Guard Komando, dia mengakui berani mengambil risiko penting dalam dunia perniagaan, namun setiap langkah perlu berpaksikan undang-undang.
Kita memang kena berani ambil risiko, tetapi dalam masa sama kena tahu akta-akta sedia ada. Jangan langgar peraturan semata-mata mahu berniaga dengan semua orang.
Hormatlah semua badan pengawal selia. Kalau kita ikut setiap peraturan, insya-Allah tiada masalah untuk menganjurkan apa juga acara.
Alhamdulillah, saya sendiri tidak pernah berdepan masalah dengan pihak berkuasa dan memang tidak mahu perkara itu berlaku.
Dazrin berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran Weekend Fête Al Aqsa Carpets, pada Sabtu.
Ditanya sama ada populariti memudahkan urusan perniagaan, Dazrin berkata gelaran selebriti mungkin membuka peluang untuk bertemu pelbagai pihak, namun kejayaan sebenar tetap bergantung kepada disiplin serta sikap menghormati peraturan.
Menjadi selebriti mungkin membuatkan wajah kita lebih mudah dikenali, tetapi perkara sebenar yang mengukuhkan kedudukan dalam dunia perniagaan ialah disiplin serta cara kita menghormati orang lain. Ikut sahaja peraturan.
Kalau hendak menghadiri mesyuarat dengan sesebuah agensi, mungkin status selebriti membantu membuka ruang pertemuan. Itu tidak menjadi masalah.
Tetapi apabila sudah berada dalam mesyuarat, kita tetap perlu faham peraturan, apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan. Tidak ada istilah sebab kita selebriti, kita boleh melanggar semua benda. Saya langsung tidak percaya perkara itu.
Sebelum ini, terdapat tanggapan bahawa golongan selebriti mempunyai kelebihan untuk menjual produk atau menganjurkan sesuatu program berbanding orang awam kerana sudah dikenali ramai.
Untuk rekod, Dazrin merupakan penganjur Weekend Fête Al Aqsa Carpets, sebuah acara yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam. Program tersebut dianjurkan sebagai inisiatif untuk menghidupkan ruang komuniti di samping memberi peluang kepada usahawan tempatan mempromosikan produk serta mengembangkan perniagaan mereka.








