Usahawan dan pempengaruh, Abiejam mengakui terguris hati dengan kenyataan selebriti media sosial, Wak Doyok berhubung isu hantaran RM1 juta yang ditawarkannya kepada wanita yang sudi menjadi isterinya.

Artikel Berkaitan: Tawar Hantaran RM1 Juta, Abiejam Jawab Dakwaan Nafkah Batin Terabai

Mahu hidup berdikari

Menurut Abiejam, komen Wak Doyok yang memintanya menggunakan wang tersebut untuk membantu adiknya, Siti Jamumall telah menimbulkan salah faham dalam kalangan warganet terhadapnya.

Saya terpanggil nak balas komen Wak Doyok yang ditinggalkan pada salah satu hantaran yang berjuta view. Dia tanya kenapa tak bantu adik sendiri, kenapa sibuk nak bagi hantaran satu juta kepada orang lain.

Wak perlu tahu satu perkara, itu adalah niat saya. Saya tidak pernah minta duit daripada orang lain, saya tidak mahu menyusahkan sesiapa.

Wak komen begitu, netizen jadi salah anggap pada saya. Sedangkan netizen tidak tahu isu dalaman, isu adik-beradik dan keluarga termasuk bisnes. Saya tidak boleh reveal semua.

Wak tahu keadaan saya bagaimana, biarkan saya berdikari. Bagilah peluang saya untuk mulakan kehidupan baru. Saya tak pernah meminta simpati, tak minta duit kalian. Saya hanya minta sokongan daripada kalian semua.

Dalam pada itu, Abiejam tidak menolak sekiranya Wak Doyok mahu memberikan teguran kepadanya, namun berharap perkara tersebut disampaikan secara peribadi dan bukan melalui media sosial.

Insya-Allah, Wak pun kenal saya. Jika Wak DM saya, seluas tapak tangan saya terbuka menerima teguran. Tapi apabila Wak komen di media sosial, membuatkan netizen salah anggap.

Saya harap Wak dapat menyokong saya. Saya pernah jumpa Wak dan sokong perniagaan Wak, tak sangka Wak buat begini.

Terdahulu, Wak Doyok meninggalkan komen, “Dari RM1 juta itu, pergi lah bantu adik yang tengah susah” pada perkongsian berkaitan tawaran hantaran berkenaan.

Sebelum ini, Abiejam atau nama sebenarnya Mohd Khairul Nizam Wahiddin tampil menjelaskan mengenai tawaran hantaran RM1 juta kepada wanita yang sudi menjadi isterinya selepas perkara itu mendapat perhatian ramai.

Abiejam menjelaskan, video berkenaan sekadar kandungan hiburan selain menjadi medium untuk memperkenalkan perniagaan emas yang diusahakannya kepada orang ramai.