Keluarga mendiang Winda Lorenza Gowasa mempersoalkan kematian wanita berkenaan yang didakwa mempunyai beberapa kejanggalan, termasuk keadaan fizikal jenazah selepas meninggal dunia.

Artikel Berkaitan: Tak Jatuh Dari Bot Tapi Dibunuh? Kes Kematian Tangmo Nida Kembali Hangat, Wujud Dakwaan Pemalsuan Bukti

Kematian Winda Lorenza

Menerusi temu bual bersama Denny Sumargo, adik Winda mendedahkan terdapat beberapa perkara yang mencetuskan persoalan ketika dia memandikan jenazah kakaknya.

Menurutnya lagi, dia melihat terdapat kesan lebam pada kedua-dua mata, kesan jahitan di bahagian leher serta kuku tangan yang sebahagiannya kelihatan menghitam.

Matanya lebam kanan kiri. Ini yang kami tanya, ada jahitan, kenapa ada bekas jahitan di leher? Katanya baru kena suntikan, diberi ubat. Ubat apa sampai boleh dijahit sebesar itu?.

Di bahagian kepala macam tulangnya masuk ke dalam (tenggelam).

Dia juga mendakwa ada anggota polis yang menghalang keluarga daripada mengambil gambar keadaan jenazah dan meminta gambar berkenaan dipadam.

Winda sebelum ini dilaporkan ditemui tidak bernyawa di bilik air rumah bekas mentuanya, Brigadir Iman Harefa (bekas suami Winda) anggota Polis Medan Sunggal, pada 2 Ogos lalu.

Dia dipercayai maut akibat luka tembakan di kepala dan pihak berkuasa mengesyaki Winda mengakhiri hidupnya sendiri. Bagaimanapun, keluarga mempersoalkan selepas mendakwa terdapat beberapa kejanggalan dalam kes berkenaan.

Antaranya, keluarga mendakwa penggalian kubur Winda dilakukan sebelum tengah hari, sedangkan kematiannya hanya dimaklumkan kepada keluarga sekitar jam 2.30 petang.

Keluarga turut mempersoalkan tempoh tiga hari sebelum jenazah diterima pihak pengurusan tanah perkuburan pada 5 Ogos lalu.

Susulan itu, keluarga membuat laporan kepada Mabes Polri dan meminta siasatan kematian Winda dipantau Bareskrim Polri.

Sumber: TikTok Denny Sumargo