Di sebalik persembahan gah lagu Kamu di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-40, penyanyi dan komposer, Aina Abdul mendedahkan perancangan berskala besar itu dibuat dalam tempoh yang singkat dan pada saat akhir.

Artikel Berkaitan: Dipersoal Terima ‘Celebrity Of The Year’, Aina Abdul Hormat Penilaian Juri – ‘Kali Ini Rezeki Saya, Akan Datang Artis Lain’

Artikel Berkaitan: K.O.I Dinobat Juara, Ini Senarai Penuh Pemenang AJL40

Jumpa ‘stranger’

Ketika ditemui OhBulan!, Nurul Aina Abdul Ghani, 32, berkata keputusan untuk mengadakan persembahan dalam skala besar itu dibuat selepas dia bertemu dengan seorang peminat yang disifatkannya sebagai kiriman Tuhan.

Kata Aina, pertemuan itu membuatkan dia berubah fikiran sepenuhnya dan memilih untuk melakukannya mengikut acuan serta gayanya sendiri.

Sebenarnya, saya juga tertanya-tanya pada diri sendiri sama ada perlu memberikan sepenuh tenaga atau sebaliknya.

Tetapi, Allah hadirkan petanda-petanda itu dengan perlahan.

Pada awalnya apabila saya buat keputusan mahu melakukan persembahan secara biasa, ada seorang makhluk Allah ni datang beritahu yang saya patut lakukannya dengan gaya saya.

Aina berkata demikian ketika ditemui selepas persembahan AJL40 di Unifi Arena pada Sabtu.

Bercerita lanjut, pelantun lagu Sadis itu mengakui dirinya berada dalam keadaan sangat tertekan ketika bertemu individu tersebut kerana memikirkan apa yang perlu dilakukannya pada malam AJL.

Bulan lepas, saya berjumpa dengan seorang yang tidak dikenali. Saya terserempak dengannya ketika menghadiri mesyuarat di sebuah pusat beli-belah.

Dia datang kepada saya dan berkata ‘saya peminat tegar awak, saya tak tahu kenapa awak nampak stres. Saya dah perhatikan awak dari tadi, tetapi saya cuma nak beritahu apa sahaja yang sedang mengganggu fikiran awak ketika ini, awak kena jadi diri sendiri, buatlah apa yang awak rasa terbaik untuk diri awak.’.

Menurut Aina, walaupun persembahan itu menelan belanja yang besar, dia akhirnya dapat menarik nafas lega kerana memilih untuk mendengar kata hatinya sendiri.

Berbeza daripada AJL sebelum ini, Aina berkata kali ini merupakan kali pertama dia berasa tenang selepas membuat persembahan di pentas berprestij itu.

Perkara itu benar-benar membuka mata saya.

Pada ketika itu, saya berasa sangat meremang kerana sedang berdepan dengan persoalan sama ada mahu membuat persembahan secara besar-besaran atau sederhana, apatah lagi ia melibatkan kos yang sangat tinggi.

Saya membuat keputusan untuk mendengar kata hati sendiri. Saya perlu memberikan apa yang orang mahukan dan pada masa yang sama, saya perlu memberikan apa yang Aina Abdul patut lakukan.

Jadi, itulah persembahan yang saya tampilkan.

Persembahan yang cukup bernyawa itu membolehkan Aina memenangi Persembahan Terbaik selain turut memenangi Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee dan dipilih mewakili Malaysia di Pertandingan Lagu Eurovision (Eurovision Song Contest).

Terdahulu, kumpulan K.O.I dengan lagu Twikarma dinobatkan sebagai juara AJL40, diikuti Aisha Retno yang mempertaruhkan lagu Tak Adil di tempat kedua, manakala lagu Lumangad Oku Dika yang dinyanyikan Ryenald Guntabid meraih tempat ketiga.