Selepas hilang menyepi, pelakon Noorkhiriah akhirnya menghubungi penerbit Jaja Ishak menerusi WhatsApp, kira-kira seminggu sebelum drama Boss Kid mula ditayangkan.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Jaja Ishak Kurang Gemar Ambil Artis Banyak Syarat, Enggan ‘Outstation’ Cabaran Produksi – ‘Syarikat Kami Banyak Penggambaran Di Pahang’

Artikel Berkaitan: Populariti Penting, Tetapi Jaja Ishak Percaya Sebuah Drama Juga Ada Tanggungjawab

‘Noorkhiriah tak nak menghilang lagi’ – Jaja Ishak

Menurut Jaja atau nama sebenarnya Surja Khairul Ishak, 44, Noorkhiriah ketika itu turut berjanji untuk tidak lagi menghilangkan diri selepas menyedari dirinya masih relevan serta diperlukan dalam industri seni.

Saya pernah telefon Datuk Fizz Fairuz dan dia cakap Kak Nor memang menghilang buat sementara waktu. Namun, seminggu sebelum drama Boss Kid ditayangkan, Kak Nor menghubungi saya melalui WhatsApp.

Dia berjanji tidak akan menghilang lagi kerana sudah sedar dirinya masih relevan dan diperlukan dalam industri seni.

Bukan gimik drama

Dalam pada itu, Jaja menafikan kehilangan Noorkhiriah daripada radar industri seni serta tindakannya menyahaktifkan akaun media sosial dilakukan sebagai gimik untuk melonjakkan populariti Boss Kid.

Sebaliknya, jelas Jaja, kehilangan pelakon terbabit berlaku secara kebetulan ketika drama berkenaan sedang bersiaran dan pihak produksinya tidak pernah merancang untuk menjadikan perkara tersebut sebagai bahan publisiti.

Sebenarnya, Kak Nor (Norkhiriah) sudah hilang beberapa bulan, kali terakhir berjumpa dengannya ketika kami menjemputnya menjadi pengacara bagi satu program dahulu dan selepas itu, tiba-tiba dia hilang.

Saya difahamkan dia sedikit merajuk dengan industri kerana sudah lama tidak mendapat tawaran. Secara kebetulan pula drama ini sedang ditayangkan dan cerita mengenai kehilangannya tersebar di merata-rata tempat.

Perkara itu sedikit sebanyak memberi nilai tambah untuk menaikkan semula nama Noorkhiriah dan drama kami tapi ini bukan gimik. Semua secara kebetulan dan tidak ada kena-mengena dengan syarikat produksi.”

Mengenai keadaan Noorkhiriah ketika itu, Jaja berkata dia difahamkan pelakon berkenaan kecewa kerana sudah lama tidak menerima tawaran kerja dalam industri seni.

Malah, Jaja sendiri pernah cuba membantu dengan menawarkan beberapa peluang kepada Noorkhiriah, terutama membabitkan program yang dianjurkan di Pahang.

Di Pahang, banyak program melibatkan selebriti dan artis. Jadi, saya ada cuba menawarkannya menyertai beberapa program tapi disebabkan dia hilang dan sukar dihubungi, saya tak dapat berbuat demikian.

Sebagai sahabat, Jaja mengakui dia turut mengambil berat mengenai keadaan Noorkhiriah dan sentiasa menasihatinya supaya tidak terlalu lama membawa rasa kecewa terhadap perjalanan kerjaya.

Sudah tentu, sebagai kawan baik, saya cakap kepadanya, ‘Kak Nor, jangan buat begini.’ Dalam mana-mana industri, termasuk industri kreatif, turun naik memang akan berlaku.

Kita faham perasaan dia. Dia berhak untuk terkilan dan merajuk, tetapi saya rasa tidak perlu terlalu lama. Sayang kalau bakatnya disia-siakan.

Jaja turut berharap kejayaan Boss Kid dapat membuka semula ruang lebih luas buat Noorkhiriah untuk menerima tawaran daripada penerbit serta pengarah lain.

Untuk rekod, Boss Kid bersiaran menerusi slot Lestary TV3 sejak 21 Ogos lalu dan mengisahkan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang berusaha mengubah kehidupan keluarganya menerusi kreativiti, keberanian serta kebijaksanaan memanfaatkan media sosial.