Pelakon, Rashdan Baba menganggap penampilannya yang kekal awet muda sebagai satu rezeki dan berpunca daripada faktor genetik keluarganya.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Zila Bakarin Tak Tahan Sebak, Anak Sulung Didakwa Jadi Mangsa Buli – ‘Dia Sangat Lemah Lembut & Banyak Mengajar Saya Tentang Adab’

Genetik

Ketika ditemui OhBulan!, Rashdan, 57, berkata selain faktor genetik, dia turut mengamalkan gaya hidup sihat bagi memastikan tubuhnya kekal cergas.

Alhamdulillah. Sebenarnya benda itu kira bonuslah sebab arwah bapa dulu pun kalau saya jalan dengan dia orang akan kata seperti abang dan adik, mungkin dari genetik.

Kalau tengok dari segi sudut kesihatan pun, bila sudah memasuki umur 40 tahun dan ke atas, kita dah kena mula ambil suplemen dan minum air yang cukup.

Kalau air tak cukup, itu yang (muka) cepat berkedut. Badan kita ada 80 peratus air, kita minum air yang cukup insya-Allah kulit akan lembap.

Rashdan turut menafikan dakwaan bahawa penampilan mudanya berpunca daripada amalan syirik atau rawatan estetik.

Cucuk-cucuk sana dan sini tapi saya tak lakukannya, setakat ini alhamdulillah masih original (asli). Masih lelaki tulen.

Dalam pada itu, Rashdan turut berkongsi pesanan daripada arwah bapanya yang masih diamalkan sehingga kini.

Ajaran daripada arwah bapa saya, sebelum tidur minum air suam segelas.

Bangun tidur sebelum berus gigi ketika air liur basi masih melekat lagi, minum air suam juga.

Itu amalan saya daripada dulu. Saya rasa lebih 8 liter saya minum sehari.

Saya banyak minum air suam walaupun ketika di kedai makan.

Kalau minum teh tarik pun saya akan minta separuh, itu pun kadang-kadang tak habis.

Rashdan turut menasihatkan orang ramai supaya menjaga pemakanan dengan mengamalkan pengambilan makanan secara sederhana.

Terdahulu, nama Rashdan menjadi perhatian selepas kemunculannya di sebuah stesen radio sehingga mencetuskan perbualan ramai.

Segelintir netizen menyifatkan dirinya tidak menua kerana penampilannya yang kekal awet muda.