Pelakon Ucop menyifatkan peluang bergandingan dengan seniwati legenda, Wan Maimunah menerusi video khas Generasi Anak Felda sebagai satu impian yang akhirnya menjadi kenyataan.

Artikel Berkaitan: ‘Pernah Kena Sound Dengan Wan Maimunah Sebab Minta Minyak Cap Kapak Untuk Menangis’ – Hafiz Halim

Artikel Berkaitan: Lelaki Luah Hasrat Mahu Bertemu Wan Maimunah – ‘Saya Teringin Nak Jumpa Sebab Wajahnya Persis Arwah Mak’

Wan Maimunah seorang seniwati

Menurut Ucop, peluang tersebut cukup bermakna kerana dia membesar dengan menonton karya lakonan Wan Maimunah dan tidak pernah menyangka akan berpeluang berkongsi set dengan seniwati berkenaan.

Ini kali pertama saya dapat bekerja dengan beliau. Wan Maimunah seorang seniwati yang memang tiada tolok bandingnya.

Bekerja dengan dia rasa macam betul-betul ada seorang ibu di set. Dia tahu macam mana nak regulate emosi kita mengikut babak.

Sangat pemurah bila berlakon dan banyak memberi. Memang seronok bekerja dengan dia.

Ucop berkata, Wan Maimunah sememangnya antara pelakon yang diimpikannya untuk bergandingan sejak sekian lama.

Saya membesar menonton lakonan beliau, terutamanya drama-drama TV3 awal tahun 2000-an bersama Haliza Misbun.

Saya masih ingat, dia antara pelakon yang betul-betul boleh buat saya menangis sebagai penonton.

Bila dah besar dan akhirnya dapat berlakon dengan dia, memang rasa macam mimpi. Saya sangat bersyukur tengok macam mana dunia ini kadang-kadang membawa kita kepada impian yang pernah kita angankan. Alhamdulillah.

Ucop dan Wan Maimunah bergandingan menerusi video khas Generasi Anak Felda berdurasi 19 minit yang dimuat naik oleh Exco Hal Ehwal Felda Pahang, Datuk Amizar Abu Adam dengan kerjasama Media Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang.

Naskhah tersebut mengangkat kisah seorang anak Felda yang berhijrah ke bandar demi mengejar cita-cita sebelum mengambil keputusan untuk pulang ke tanah rancangan bagi berbakti kepada ibu bapa serta membangunkan komuniti tempat asalnya.

Tak mahu hadkan diri pada satu bidang

Dalam perkembangan lain, Ucop menganggap perjalanan kariernya selepas lebih sedekad dalam industri seni sebagai hasil daripada kesabaran dan konsistensi.

Menurutnya, apa yang dilakukan sejak 10 tahun lalu akhirnya membawa dirinya kepada kedudukan yang diimpikan hari ini.

Sejujurnya, apa yang saya buat 10 tahun lalu sebenarnya adalah perkara yang saya memang nak jadi hari ini. Semuanya bermula tanpa niat lain selain mahu menjadi seorang performer.

Bila saya tengok balik diri saya sekarang, semua ini adalah hasil daripada kesabaran, konsistensi untuk jadi diri sendiri, berani bereksperimen dengan content, artistic direction dan semua benda yang saya belajar dengan cara yang agak sukar.

Saya sentiasa percaya saya mampu buat sesuatu yang lebih besar walaupun pernah rasa dipinggirkan, rasa tak sama macam orang lain, tak berada dalam senarai dan bukan pilihan utama.

Ucop pada masa sama tidak percaya seseorang perlu mengehadkan diri kepada satu bidang sahaja untuk mencapai kejayaan.

Dulu orang selalu cakap kalau nak berjaya kena pilih satu benda dan duduk dalam kotak itu. Tapi saya tak percaya macam itu.

Saya rasa kita semua mampu buat banyak perkara. Sebab itu saya buat macam-macam daripada menari, teater, content creation dan berlakon.

Bila tengok balik, semuanya macam puzzle yang akhirnya bercantum.

Saya sangat bersyukur bila ada orang nampak kemampuan kita dan percaya untuk menggunakan servis kita. Itu sendiri satu penghormatan buat saya.