![[VIDEO] Zahirah MacWilson Kongsi Sudah Dua Bulan Pakai Hijab – ‘Alhamdulillah, Buat Masa Ini Saya Masih Mencuba’](https://asset.ohbulan.com/2026/08/zahirah2.jpg)
Pelakon jelita Zahirah MacWilson memberikan respon mengenai penampilan terbaharunya yang kini sudah mengenakan hijab.
Artikel Berkaitan: Zahirah MacWilson Berhijab Semasa Bercuti, Netizen Tak Putus Doa – ‘Tidak Apa Perlahan-Lahan, Janji Istiqamah’
Artikel Berkaitan: Peminat Teruja Jumpa Zahirah MacWilson, Imej Berhijab Raih Pujian – ‘Makin Cantik!’
Proses perubahan

Ketika ditemui OhBulan!, Zahirah atau nama lengkapnya Nur Zahirah MacWilson Zainol MacWilson, 31, mengakui dirinya kini sedang berada di dalam proses untuk berubah menjadi seorang muslimah yang lebih baik.
Saya masih mencuba lagi. Bagi saya masing-masing ada perjalananan spiritual dan semestinya kita mengambil masa sendiri, jadi pada saya ia adalah sesuatu yang sangat peribadi.
Tetapi Alhamdulillah buat masa ini saya masih menikmatinya dan mencuba.
Menurut Zahirah, dia sudah lama memasang niat untuk menutup aurat dan mula memakai hijab sejak dua bulan lalu.
Sebenarnya hajat dan niat itu sudah lama semenjak dari tahun lepas. Boleh dikatakan saya sudah pakai hampir dua bulan cuma saya tidak uar-uarkan.
Saya mula pakai pun pada awalnya sebab suka. Kadang kala keluar rumah saya pakai dan lama kelamaan orang kata ‘melekatlah’.
Saya tidak sempurna dan masih mencuba, ia adalah sebuah perjalanan dan transisi. Tetapi saya banyak belajar dan banyak perkara-perkara positif di sekeliling saya.
Ramai yang DM saya dan mendoakan yang baik-baik untuk saya. Ia sangat bermakna dan saya sangat hargai.
Walau bagaimanapun, ibu kepada dua orang anak ini belum bersedia untuk mendedahkan faktor yang mendorong dirinya untuk memakai hijab.
Saya belum bersedia untuk berkongsi, suatu hari nanti insyaAllah saya akan kongsikan keseluruhanya.
InsyaAllah selepas itu, saya berharap perkongsian itu akan memberi inspirasi kepada lebih ramai orang.
Zahirah berkata demikian ketika ditemui di sesi fotografi drama Sumpah Ayah yang diadakan di Balai Berita, Bangsar pada Selasa.
Bercerita lanjut, Zahirah juga mendedahkan, dia terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan selepas mengambil keputusan untuk berhijab.
Apabila saya sudah memakai hijab, sudah semestinya akan tolak beberapa tawaran lakonan tetapi bagi saya semua rezeki datang daripada Allah SWT.
Pada awalnya saya menolak untuk melakonkan drama ini tetapi pihak produksi datang kepada saya dan kami berbincang.
Mereka memahami keadaan diri saya dan menukar beberapa bahagian skrip untuk sesuaikan dengan karakter.
Mereka tidak tahu saya akan bertudung tetapi tidak lama selepas itu mereka faham.
Sementara itu, Zahirah juga menyatakan bahawa suaminya yang juga aktor Aiman Hakim Ridza sentiasa memberikan sokongan terhadap perubahannya.
Dia tak pernah paksa saya, semuanya berlaku secara semula jadi dan dan dia sangat menyokong saya. Saya sangat hargai sokongan yang diberikan oleh Aiman.
Pada Aiman, yang penting hati, janji hati baik. Jadi kita pun tidak akan mudah menilai orang.
Terdahulu, imej terbaharu Zahirah telah menyorot perhatian ramai selepas berkongsi foto memakai hijab semasa bercuti bersama keluarganya baru-baru ini.








