
Pelakon dan pendakwah, Yatt Hamzah, menyeru kaum wanita agar tidak menunggu diri menjadi sempurna untuk berubah dan kembali mendekatkan diri kepada Allah.
Artikel Berkaitan: ‘Saya Bersama Seluruh Keluarga Masih Tidak Mengetahui Keberadaan Serta Keadaan Suami’ – Yatt Hamzah
Yatt Hamzah pesan jangan tunggu sempurna

Menurut Yatt, setiap langkah kecil yang diambil ke arah kebaikan perlu dihargai sebagai sebahagian daripada perjalanan menuju kehidupan yang lebih bermakna.
Katanya, seseorang juga tidak seharusnya menganggap dirinya terlalu banyak dosa, terlalu jauh daripada Allah, terlalu tua atau sudah terlambat untuk melakukan perubahan.
Jangan tunggu kita sempurna untuk berubah. Kalau hari ini kita baru mampu buat satu langkah kecil menuju Allah, buatlah.
Jangan rasa terlalu banyak dosa, terlalu jauh, terlalu tua atau terlalu terlambat untuk kembali.
Yatt berkata demikian ketika mengulas penglibatannya dalam program Bidadari Dambaan Syurga yang bakal berlangsung pada 4 dan 5 September ini di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maran, Pahang.
Perjalanan hijrah setiap individu berbeza

Mengulas lanjut, Yatt berkata perjalanan hijrah setiap individu adalah berbeza dan tidak wajar dibandingkan dengan orang lain.
Katanya, ada yang mampu melakukan perubahan dalam tempoh singkat, manakala sebahagian yang lain memerlukan masa bertahun-tahun.
Yang penting, jangan berhenti berjalan. Saya selalu percaya, Allah bukan hanya melihat sejauh mana kita sudah sampai, tetapi Allah melihat usaha kita untuk kembali kepada-Nya.
Kalau hari ini hati kita terdetik nak berubah, jangan abaikan rasa itu. Mungkin itu sebenarnya jemputan Allah.
Tambah Yatt, menjadi wanita solehah juga tidak bermaksud seseorang wanita perlu mencapai kesempurnaan dalam setiap aspek kehidupan.
Sebaliknya, wanita boleh kekal kuat, berilmu, bekerja, berniaga serta mengejar impian dan cita-cita, namun pada masa sama hatinya tetap tunduk kepada Allah.
Berkongsi mengenai pengisian yang bakal dibawakan menerusi program tersebut, Yatt berkata dia akan menyentuh perjalanan seorang wanita dalam mencari makna kehidupan.
Ia termasuk pengalaman melalui perubahan, jatuh bangun serta usaha menyusun semula keutamaan agar kehidupan dunia tidak mengatasi persediaan menuju akhirat.
Saya juga mahu menyentuh tentang realiti kehidupan wanita. Kadang-kadang kita nampak seseorang itu baik, kuat dan tenang di luar, tetapi kita tidak tahu apa yang sedang dia perjuangkan di dalam hati.
Sebab itu saya mahu perkongsian ini lebih kepada sebuah perjalanan bersama, bukan sekadar saya bercakap dan para peserta mendengar.
Menurut Yatt, program berkenaan turut menjadi ruang untuk peserta bermuhasabah mengenai perkara yang dikejar dalam kehidupan, insan yang ingin dibahagiakan serta persoalan lebih besar mengenai destinasi akhir yang ingin dihuni.
Kita akan sama-sama bermuhasabah tentang apa yang kita kejar, siapa yang kita mahu bahagiakan dan akhirnya, rumah mana yang kita mahu diami untuk selama-lamanya.
Dalam pada itu, pemilik nama Haryati Hamzah berharap program yang membawa tema Bidadari Dambaan Syurga itu tidak sekadar menjadi medan untuk berbicara mengenai syurga, sebaliknya mampu mencetuskan semangat dalam diri peserta untuk melakukan perubahan selepas kembali ke kehidupan masing-masing.
Kita mungkin belum menjadi bidadari yang sempurna, tetapi jangan berhenti berusaha menjadi wanita yang dirindui syurga.
Mudah-mudahan kita bukan hanya bercakap tentang syurga, tetapi kita pulang dengan semangat untuk menjadi wanita yang sedang menuju ke sana.
Program Bidadari Dambaan Syurga di bawah program apresiasi Pahang 1st itu turut menampilkan Ustazah Sharifah Khasif dan Ustazah Aqidah Mawardi sebagai panel.
Selain itu, program selama dua hari turut diserikan dengan Food Festival, bacaan Yasin dan cabutan bertuah, selain kemunculan Zizi Kirana yang akan membuat persembahan khas.
Program berkenaan bakal menjadi wadah pengisian rohani buat kaum wanita untuk memperkukuh ilmu, melakukan muhasabah dan membina semula hubungan dengan Allah.
Malah, akan menyuntik kesedaran bahawa perubahan tidak semestinya bermula dengan langkah besar, sebaliknya cukup dengan kesediaan untuk bermula.








